Skip to main content

Memiliki Aplikasi Sendiri

·704 words·4 mins
aplikasi
rsmn
Author
rsmn
Software Engineer in Bangi

Kalau saya tanya berapa harga kereta Myvi, mungkin ramai yang boleh beritahu saya harganya sekarang. Tetapi kalau saya tanya berapa harga kalau nak mintak kereta yang ada enjin Proton Preve, interior Honda City, sistem brek Perodua Myvi, dan gabungan beberapa lagi jenama lain, pasti sukar nak meneka harga.

Kesukaran meneka harga ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sekarang kalau anda tanya pula mereka yang pakar dalam bidang automotif, pasti mereka tahu untuk mengagak harga kereta gabungan ini.

Dan saya pasti harganya lebih mahal. Sesuatu barangan yang dikeluarkan secara besar-besaran (mass produce) akan mempunyai harga yang lebih rendah berbanding sesuatu yang ditempah khas/tersuai (custom made).

Mass production berlaku dengan bantuan automatsi (automation). Automation bermaksud kurang tenaga pekerja diperlukan maka diterjemah kepada pengurangan kos.


Begitu juga dengan pembinaan aplikasi.

Ramai yang ingin memiliki aplikasi sendiri tetapi ramai yang tidak tahu berapa ringgit sebenarnya kos pembinaan sesebuah aplikasi ni.

Apa yang perlu kita bezakan adalah adakah kita membayar harga untuk memiliki aplikasi, atau kita membayar untuk mendapatkan perkhidmatan melalui aplikasi?

Kebanyakan daripada kita yang pernah “membeli” aplikasi, selalunya bukanlah mereka membeli hak pemilikan terhadap aplikasi tersebut, akan tetapi mereka hanyalah membeli perkhidmatan yang ditawarkan oleh aplikasi tersebut.

Sebagai contoh, kita membayar RM50 sebulan untuk aplikasi Netflix, dan kita dapat menonton rancangan-rancangan yang ditawarkan melalui aplikasi tersebut. Sama juga seperti perkhidmatan Grab, kita hanya perlu membayar RM10 untuk menggunakan kereta.

Di sana juga ada aplikasi yang seolah-olah anda tidak perlu membayar apa-apa untuk menggunakannya. Contohnya, Instagram. Ada kena bayar apa-apa kalau nak guna? (Bayar dengan privasi anda 😭)

Pada tahun 2012, Facebook telah membeli Instagram dengan harga USD 1 bilion. Perlu difahami yang dibeli oleh Facebook bukan semata-mata kod sumber (source code) Instagram, akan tetapi segala yang dimiliki oleh syarikat Instagram termasuklah kod sumbernya sekali.

Jadi berapa harga untuk memiliki kod sumber sesebuah aplikasi?

Saya pernah sentuh dalam hantaran sebelum ini. Kesimpulannya, ia bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya adalah tahap kerumitan (complexity), siapa yang ingin membeli dan siapa yang ingin menjual.


Keperluan pengguna (requirement) untuk kebanyakan pengguna Grab mudah dan jelas. Nak bergerak dari titik A ke titik B. Ini kategori mereka yang inginkan perkhidmatan. Harga selalunya kita boleh kata ini paling murah.

Seterusnya ada pelanggan yang nak memiliki kereta yang sudah di mass produce. Ini harganya jelas. Harga bermula 30k-100k dah boleh memiliki kereta jenis ini.

Tapi ada juga pelanggan yang inginkan sesuatu yang lebih custom. Terutamanya pelanggan perniagaan (business customer). Analoginya, seolah-olah ada pelanggan yang nak beli food truck. Dan ini bukan sebarang food truck. Dia ada keperluan yang khusus (specific) untuk perniagaan dia sahaja. Dia nak food truck yang pelanggan boleh singgah dan pesan makanan, ada ruangan untuk simpan inventori yang extra panjang. Ada peti ais terbina sebab mereka menjual barangan yang perlukan penyejukan. Ada itu dan ini dan macam-macam lagi.

Semakin custom permintaan, harga akan semakin tinggi.


Kesimpulan yang saya cuba sampaikan adalah, fahami betul-betul apa yang kita mahu.

Tak semua orang mampu memiliki aplikasi terutamanya aplikasi tersuai (custom).

Habis tu tak kesian ke dekat SME atau peniaga-peniaga kecil yang tak mampu nak memiliki aplikasi ni?

Berbalik kepada apa yang saya sebutkan tadi, kita perlu faham apa yang kita mahu dan apa yang tersedia di luar sana.

Sebagai pengguna, kita boleh pilih dari senarai berikut:

  1. Beli perkhidmatan melalui aplikasi siap dibina. Contoh: Netflix, Orderla.my, Facebook Ads, Instagram Ads.
  2. Beli perkhidmatan membuat aplikasi melalui aplikasi yang siap dibina. Contoh: Wordpress, Webflow, Glide Apps.
  3. Beli aplikasi yang telah siap dibina tetapi dengan fungsi yang tetap dan tidak tersuai. Contoh: Sistem Template dan Plugin Wordpress.
  4. Beli aplikasi tersuai (atau membeli perkhidmatan membuat aplikasi tersuai). Kita bayar freelancer atau syarikat untuk hasilkan mengikut keperluan khusus. Ini mahal, boleh jadi puluhan ribu, ratusan ribu, dan boleh mencecah juta.

Secara peribadi, saya merasakan jurang antara no 2/3 dengan no 4 adalah agak besar. No 2/3 mungkin murah tapi learning curve agak tinggi dan sukar nak dapatkan hasil seperti no 4. AI (Kecerdasan buatan) mungkin boleh mengurangkan jurang ini satu masa nanti siapa tahu.

Semakin hari semakin banyak syarikat yang mula mengeluarkan no-code platform (platform tanpa pengekodan). Saya pernah mencuba beberapa tapi masih belum berpuas hati. Masih belum boleh menggantikan pembangun aplikasi sepenuhnya.

Moga-moga satu hari nanti ada produk yang boleh memenuhi kelompongan untuk mereka-mereka yang tak mampu nak memiliki aplikasi tersuai.