sembang

rsmn

E-Sukan

kerjaya masa depan

Saya terjebak dalam bidang kejuruteraan perisian ni antara sebabnya adalah waktu kecil saya banyak masa diluangkan dengan bermain permainan video.

“Bang orang lain pun main game jugak tapi apsal tak terjebak dalam pengaturcaraan macam abang?”

Saya pun tiap-tiap hari makan dan saya tak terjebak pun dalam dunia masakan.

Dalam hidup kita ni memang banyak benda yang kita jadi pengguna berbanding penghasil. Kita sedut oksigen, itu pengguna. Kita makan minum, itu pengguna. Kita beli kereta, itu pengguna. Semua tu ada la jugak benda yang kita hasilkan, macam karbon dioksida, sisa najis, dan resit pembelian. Tapi takkan itu sahaja?

Kita ada pilihan nak jadi sekadar pengguna atau nak jadi penghasil.

Kerajaan Malaysia melalui agensi-agensi seperti MDEC telah melakukan inisiatif-inisiatif yang sangat baik dalam melahirkan generasi yang boleh saya sebut di sini sebagai “digital makers” atau penghasil digital.

Tapi dalam masa yang sama ada juga pihak-pihak yang cuba push e-sukan (e-sports) jadi “mainstream” (arus perdana) seiring dengan inisiatif digital makers ni.

Kenapa digital makers ni bagus? Produktiviti. Kita menghasilkan produk. Itu hasil akhirnya. Produk boleh datangkan banyak manfaat pada agama, bangsa dan negara (klise). Boleh menyumbang dalam bidang kesihatan, sosial, kewangan, politik, ketenteraan dan apa-apa lagi lah. Analogi kemahiran digital ni kalau zaman dulu ibarat kemahiran menempa besi. Manfaat besi ni boleh guna pada pelbagai industri.

Ok sekarang cuba kita senaraikan manfaat e-sports. Ada yang bagi hujah “ala sama la manfaat macam sukan-sukan lain bang macam bola sepak apa semua tu. Kecoh lah bang.”

Kalau macam tu kita cuba bincang sukan bola ni apa pulak manfaat dia? Hujah paling kerap orang pakai, boleh menjana pendapatan. Selain daripada tu sukan bola membentuk budaya sihat. Yela sukan, keluar peluh apa semua sihat la kan. Sukan jugak membentuk budaya dan idola. Yang main wakil Malaysia mungkin 10-20 orang je, tapi yang ikut dan jadi peminat berjuta-juta orang. Kau minat Mohamed Salah, Messi, mesti petang-petang pun kau turun padang main bola jugak nak jadi macam mereka. Walaupun kebarangkalian kau nak menang ballon d’Or tak sampai 0.00001% sekurang2nya ada 99.99999% lagi kebarangkalian kau akan jadi sihat sebab main bola menyihatkan badan.

Jadi cuba kau bayangkan kalau e-sports ni jadi arus perdana. 0.0001% daripada yang mengikut mungkin la mendapat peluang pekerjaan. Yang 99.99999% dapat apa bro?

Bola ni kau main 2-3 jam kau dh stop. Ada jugak elemen ketagihan tapi penat. Nak ketagih pun tak larat. Dota Fortnite PES FIFA segala bagai kau main 13 jam pun tak rasa apa. Ketagih campur penat jari. Jari je penat bro.

Ada tak kau tengok budak-budak ponteng sekolah sebab ketagih nak main bola? Bola tu dah mainstream tu. E-sport yang belum lagi mainstream tu pun penuh dah kafe-kafe siber di kawasan-kawasan perumahan.

“Hmm bias la bang. Ada je lagi manfaat lain. Jangan berat sebelah sangat bang.”

Manfaat lain kalau nak fikir lagi ada la lagi macam menjauhkan kau dari bahaya dadah. Tapi hujah ni aku simpan dulu dan aku taknak ulas kali ni.

Ada jugak yang bagi hujah “ala bang benda ni mewujudkan peluang pekerjaan”. Ok betul. Bidang pelacuran pun mewujudkan peluang pekerjaan jugak. Aku membesar-besarkan (exaggerate) je tapi kau paham la kan maksud aku.

Bila ditanya takpe ke nak arus perdana kan e-sport ni kau mesti akan dapat jawapan “ya sebab menjana pendapatan”. Hai asal buat duit je terus kena masukkan dalam pelan nasional ke?

“Apa ni bang tadi kata nak digital makers kena buat game apa semua habis tu game dah siap tu siapa nak main?”

Ha bagus soalan ni.

Aku nak mencadangkan agar kita laraskan (adjust) sikit e-sports ni kalau korang berdegil jugak nak push. Sebab semua benda dalam dunia ni ada manfaat dia cuma kalau tak berhati-hati memang akan lagi banyak mudarat.

Sebelum kita nak arus perdanakan e-sports lebih baik kita cuba jawab persoalan-persoalan ni.

  1. E-sports (dalam bentuk sekarang) membentuk budaya pengguna tapi tidak membentuk budaya penghasil. Macamana nak halakan ke arah membentuk budaya penghasil? Aku pun takde idea sangat. Adakah kita nak buat pertandingan siapa boleh hasilkan game dengan lebih cepat? Live coding disaksikan jutaan kanak-kanak dan remaja satu Malaysia (atau satu dunia?)
  2. Kandungan (content) permainan yang lebih mendekatkan kita dengan jatidiri kita? Permainan video dengan tema perjuangan pembebasan tanah melayu daripada penjajahan? Tema pejuang2 islam terdahulu seperti mohamed alfatih, salahudin al ayyubi? Pertandingan congkak, batu seremban, wau bulan, konda kondi online?
  3. Fikir cara nak atasi masalah ketagihan. Mungkin melalui saluran undang-undang. Ketatkan undang-undang berkait kafe siber, waktu buka dan tutup, kandungan permainan yang dibenarkan dan sebagainya.

Itu je la setakat ni yang aku terfikir.

Kalau kau ada pilihan nak habiskan masa sebagai pengguna atau penghasil, pilihlah penghasil sebab benda tu akan melahirkan generasi yang lebih kuat. Mungkin kita tak nampak sekarang. Tapi lagi 50 tahun, 100 tahun, 500 tahun ha banyak pahala kau dapat sebab niat kau nak bina generasi ni.

Apa-apa pun aku harap netizen tak kecam aku. Benda-benda nak viral ni memang kena ada elemen kontroversi sikit. Kepada kawan-kawan, sahabat-sahabat aku korang semua jangan risau kalau aku tweetpemes instapemes viral apa semua aku still akan ingat korang ok.

“Bang jadi player dota pun kira penghasil gak bang. Boleh mengHASILkan sedutan video livestream perlawanan di saluran Youtube, Twitch dan sebagainya.”

Tak habis lagi kau. Ha silakanlah. Tapi tengah-tengah livestream kau tu selitkanlah tazkirah.

Sekian.