sembang

rsmn

Pelan Lantai

Dalam hantaran yang lepas saya membawakan pada anda kisah kedai karipap. Ia sebenarnya adalah satu analogi untuk memudahkan saya menerangkan tentang pembinaan aplikasi.

Kali ini saya nak bawa konteks yang sama. Untuk membina sebuah kedai karipap, tentunya ada satu peringkat yang kita panggil sebagai merekabentuk. Salah satu dokumen kita akan hasilkan adalah pelan lantai.

Begitu juga apabila membina sebuah aplikasi. Kita ada pelan lantai yang perlu dihasilkan.

Pelan Lantai

Ada banyak jenis “pelan lantai” yang perlu dihasilkan. Antaranya aliran skrin antaramuka pengguna (UI screen flow), diagram skema pangkalan data, diagram infrastruktur, senibina sistem (sistem architecture) dan diagram kelas.

Dan untuk menghasilkan pelan-pelan ini tentulah perlu mengambil kira sumber yang diperlukan. Sesebuah pasukan pembina aplikasi boleh mengambil khidmat firma-firma atau perekabentuk bebas (freelance) yang boleh menghasilkan pelan tersebut, atau melantik seorang perekabentuk antaramuka pengguna secara tetap dalam pasukan mereka.

Macam biasa soalan paling selalu orang tanya. Berapa kos nak buat pelan-pelan ni?

Ok kalau kita ambik satu contoh pelan, aliran skrin. Dengan anggapan rekabentuk antaramuka (UI Design) telah diselesaikan, dan ini hanyalah proses untuk rekabentuk interaksi (UX) sahaja, secara purata dan anggaran, berikut adalah jam yang diperlukan untuk menghasilkannya mengikut kerumitan.

Aplikasi mudah aka “simple”: 10 jam Aplikasi sederhana: 30 jam Aplikasi kompleks: 200 jam

Bergantung siapa yang anda upah, kos akan jadi berbeza.

Kalau harga RM50/jam, harga akan jadi sekitar RM500 sehingga RM10,000

Kalau harga RM100/jam, harga akan jadi sekitar RM1000 sehingga RM20,000

Kalau harga RM200/jam, harga akan jadi sekitar RM2000 sehingga RM40,000

Dan ini untuk hasilkan satu dokumen boleh serah (deliverable) sahaja. Tak masuk lagi bab pengaturcaraan, antaramuka pengguna, dokumentasi, latihan dan lain-lain lagi.


p/s: Kalau anda ada tajuk spesifik untuk siri #kedaikaripap yang seterusnya, boleh tulis di ruangan komen. tq.