sembang

rsmn

Anatomi Aplikasi

“Bro boleh buatkan aku a simple app?”

Kali ni saya mahu kongsikan apakah anatomi sesebuah aplikasi.

Kebanyakan aplikasi mempunyai ciri-ciri asas yang sama.

Pengesahan (Authentication)

Senang cerita, sistem daftar akaun, log masuk, log keluar.

log masuk Instagram

Kebenaran (Authorization)

Siapa boleh akses apa. Pentadbir (Administrator) mempunyai peranan (role) dan kebenaran (permission) yang lebih banyak daripada pengguna biasa. Contohnya, ruangan Dashboard hanya boleh diakses oleh Pentadbir sahaja.

Profil dan Tetapan Pengguna (User Profile and Settings)

Setiap aplikasi akan ada ruangan untuk setiap pengguna menyimpan tetapan yang khusus untuk dirinya sahaja. Contohnya, sekiranya ada pengguna yang ingin berhenti daripada menerima notifikasi emel atau push daripada sistem. Di sini juga boleh tetapkan butiran pengguna seperti nama, email dan sebagainya.

Antaramuka Pengguna (User Interface)

Bagaimana rupabentuk dan susun atur aplikasi anda.

Antaramuka Kompas - Akhbar Indonesia

Antaramuka CNN - Akhbar Amerika Syarikat

Rekabentuk Icon (Icon Design)

Ikon yang mempesonakan lebih mudah menarik minat pengguna untuk memuat turun aplikasi

ikon aplikasi

Aliran Pengalaman Pengguna (User Experience Flow)

Setelah pengguna daftar emel, adakah terus dibawa masuk ke dalam sistem atau perlu klik pautan untuk pengesahan emel dahulu atau bagaimana? Sebelum pengguna mendaftar akaun adakah anda mahu membenarkan mereka menggunakan aplikasi anda secara terhad atau wajib daftar kemudian baru boleh guna? Semua ini adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk memastikan keciciran sifar dan kepuasan pengguna yang maksimum.

Platform Pembayaran (Payment Gateway)

Sekiranya aplikasi anda ingin membolehkan pengguna membuat pembayaran, beberapa platform pembayaran terkemuka boleh diintegrasikan seperti BillPlz, iPay88, MOLPay, Braintree dan sebagainya.

Inventori (Inventory)

Setiap aplikasi akan mengandungi beberapa jenis inventori. Bagi aplikasi sistem pengurusan tadika, inventori adalah senarai pengguna, senarai ibubapa, senarai kelas, senarai kumpulan dan sebagainya.

Penyegerakan (Synchronization)

Sekiranya aplikasi anda menyertakan sokongan pelbagai platform (mudah alih dan web), ciri ini sangat penting agar pengguna tidak mengakses maklumat yang lama iaitu sebelum ia dikemaskini.

Integrasi Peranti (Device Integration)

Ciri-ciri seperti Koordinat GPS, Kamera, Senarai kenalan (contacts) boleh dimanfaatkan pada peranti mudah alih.

Sistem Notifikasi

Untuk meningkatkan interaksi dengan pengguna, notifikasi boleh dimanfaatkan untuk menghantar mesej pendek secara percuma (tiada caj seperti SMS).

Permesejan

Kebanyakan aplikasi moden turut menyertakan fungsi permesejan. Pengguna boleh menghantar mesej sesama mereka.

API (Application Programming Interface)

Untuk membolehkan aplikasi peranti mudah alih untuk “bercakap” dengan pelayan, API adalah jawapannya.

Pembangunan dan Penyelenggaraan Infrastruktur Pelayan

Aplikasi yang dibina perlu dijalankan di atas infrastruktur yang kukuh. Aplikasi yang ingin menampung pengguna seramai 10 orang sudah tentu tidak sama dengan aplikasi yang ingin menampung 1,000,000 orang.